Rabu, 19 September 2012

Pelabuhan Tanjung Pelepas membeli kren baru


JOHOR BAHRU 2 Julai - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melabur RM1.4 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membeli kren baru, menaik taraf kren gantri beroda getah (RTG) sedia ada kepada berkuasa elektrik dan membina dermaga pelabuhan baru.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman berkata, pembelian kren dengan kapasiti lebih besar itu bagi memenuhi keperluan semasa memandangkan semakin banyak syarikat perkapalan kini membina kapal lebih besar.
Beliau berkata, sebagai contoh syarikat Evergreen sedang membina 10 buah kapal bersaiz mega dengan kapasiti muatan 13,800 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dan Maersk Line yang turut menyiapkan 20 buah kapal 'Maersk Triple-E' di Korea Selatan yang bersaiz sangat besar.
"Tiada satu pun kren yang digunakan di pelabuhan seluruh dunia hari ini dapat mengendalikan kapal-kapal mega ini kerana tidak cukup besar. Jadi, pelabuhan memerlukan kren-kren baru yang lebih canggih, tinggi dan jangkauan luar yang lebih jauh.
"PTP bersama enam pelabuhan antarabangsa lain seperti Felixstowe, Bremerhaven, Rotterdam, Yantian, Shanghai and Ningbo yang dipilih Maersk Line untuk program 'Daily Maersk' perlu membina kren baru bagi membolehkan pengendalian kontena di kapal-kapal ini. PTP kini berada di peringkat perolehan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sidik berkata, PTP merancang untuk mendapatkan lapan buah kren baru yang menelan belanja RM250 juta, selain pelaburan untuk 32 unit kren RTG tambahan yang melibatkan kos lebih RM200 juta dan pembinaan dua dermaga tambahan yang mampu mengendali lapan juta TEU pada tahun ini.
Menurutnya, pencapaian yang ditunjukkan PTP setakat ini amat memberangsangkan apabila telah mencatat rekod baru dengan pengendalian 697,617 TEU pada bulan lalu, sekali gus memecahkan rekod sama sebanyak 679,256 TEU pada Mac lalu.
Beliau menyifatkan prestasi yang baik ini bertepatan dengan objektif PTP untuk memberikan perkhidmatan pelabuhan yang efisien secara berterusan.
Ia dilakukan melalui pemindahan kontena yang pantas dan tempoh pusingan kapal yang pendek serta seterusnya meningkatkan produktiviti pelabuhan.
"Untuk memastikan kedudukan PTP terus kukuh, kami perlu berusaha meningkatkan prestasi dan melabur dalam teknologi terkini dari semasa ke semasa," katanya.
Mohd. Sidik berkata, PTP turut menyedari peningkatan pengendalian kontena dari seluruh negara yang ditransitkan melalui PTP dengan pengendalian sebanyak 230,000 TEU kontena dari kawasan utara dan 320,000 TEU kontena dari kawasan tengah Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.
Katanya, PTP menjadi pilihan kerana fasiliti moden yang dimiliki dan peralatan baru itu nanti bakal meningkatkan kapasiti daripada 8.4 juta kepada 10 juta TEU setiap tahun dengan kemungkinan besar memerlukan pembinaan dermaga pelabuhan baru dengan peralatan secukupnya setiap tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan